Masalah jalan turut diberi perhatian

0

KUALA KRAI 10 Julai - "Sudah bertahun-tahun kami tunggu wakil rakyat datang melawat kampung ini dan tengok soal jalan kecil di sini tetapi tak sangka yang datang adalah menteri."

Demikian kata seorang penduduk, Abdullah Lokman, 46, yang mengambil peluang kehadiran mengejut Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor ke rumahnya di Kampung Sungai Sok di sini hari ini untuk mengadu masalah jalan itu.

Ketika menerima kunjungan tetamunya pagi ini, dia segera menghidangkan buah durian kepada Shaziman dan beberapa pegawainya.

Sambil itu Abdullah berkata: "Datuk, dah datang sini saya nak mintalah tolong baiki jalan ke kebun saya sepanjang kira-kira 100 meter. Sudah lama jalan itu rosak dan menyusahkan kami."

Sejurus mendengar permasalahan yang dialami itu, Shaziman dengan nada gurauan segera menjawab: "Oleh kerana saya sudah makan dua ulas buah durian, maka saya akan tunaikan permintaan pak cik. Pak cik jangan risau lepas ini insya-Allah kita bantu."

Abdullah ketika ditemui untuk merungkai perkara di sebalik permintaannya itu berkata, jalan ke ladang yang digunakan oleh penduduk telah rosak sejak sekian lama.

Sehubungan itu, dengan ditemani beberapa penduduk kampung mereka telah bertemu dengan pemimpin kerajaan negeri untuk meminta bantuan agar jalan itu diturap bagaimanapun cuma batu kerikil dibekalkan.

Sementara itu, Shaziman berkata, beliau akan mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah penduduk di sekitar Manek Urai.

Ujarnya, kementerian mempunyai peruntukan setiap tahun untuk digunakan memperbaiki semua jalan di seluruh negara bagi menjamin keselesaan rakyat.

Beliau berkata, arahan telah diberi kepada Jabatan Kerja Raya Kelantan untuk membuat tinjauan keadaan jalan di seluruh kawasan Manek Urai dan menyediakan laporan bagi memudahkan bantuan diberi.

0 comments: