70% Pedalaman Kelantan Tiada Bekalan Air Bersih

0
KUALA KRAI 13 Julai - Sejak 20 tahun lalu, kerajaan Pusat secara konsisten membekalkan air bersih yang dirawat kepada penduduk pedalaman negeri ini biarpun ia sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, namun masih terdapat 70 peratus daripada kawasan itu belum mendapat kemudahan tersebut yang memaksa penduduk menggunakan air tidak dirawat.

Katanya, sehingga kini terdapat 319 sistem rawatan air luar bandar (GFS) di seluruh negeri dengan Kuala Krai saja mempunyai 137 GFS, 38 daripadanya di Manek Urai.

''Bagaimanapun jumlah GFS itu masih belum mencukupi bagi menampung seluruh kawasan pedalaman di Kelantan iaitu 30 peratus sahaja, bakinya, penduduk terpaksa mengunakan air sungai.

''Kerajaan Pas Kelantan tidak menunaikan tanggungjawab itu,'' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan GFS yang dipertingkatkan di Kampung Bukit Budu di sini hari ini bagi memenuhi keperluan beratus orang penduduk setempat.

Objektif utama GFS ialah mengenal pasti, membekal dan membangunkan satu sistem rawatan air yang mudah dikendalikan, efektif dan selamat kepada pengguna dengan kos minimum.

Ia bertujuan mencegah penyakit bawaan air dan makanan di kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, projek GFS telah dinaik taraf pada 2007 dengan kos sebanyak RM150,000.

GFS baru ini meliputi komponen sistem rawatan air iaitu sistem penapisan, sistem pembasmian kuman, sistem penyimpanan sehingga 8,000 liter dalam masa sejam dan juga sistem penggalak (booster).

Tiong Lai berkata, dengan kos peruntukan yang bertambah ini, bilangan rumah yang diliputi meningkat kepada 80 buah merangkumi kira-kira 400 orang penduduk.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan GFS untuk Kuala Krai bagi tahun ini RM538,000 dan ia akan diteruskan kerana kebajikan rakyat tidak akan diabaikan biarpun negeri ini diperintah oleh pembangkang.

''Pelaksanaan projek bekalan air GFS merupakan salah satu komponen daripada projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi Kelantan,'' katanya.

0 comments: