Suasana kempen tenteram
0
KUALA KRAI 13 Julai - Suasana kempen yang tenteram dan lancar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sewajarnya dicontohi dan diamalkan pada setiap kali pilihan raya diadakan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tiada kejadian tidak diingini sepanjang kempen selama sembilan hari bermula 6 Julai lalu malah para penduduk serta ahli-ahli politik menunjukkan kematangan berpolitik yang tinggi.
Beliau juga memuji dan menghargai keterbukaan sikap penduduk di Manek Urai kerana bekerjasama dengan memberikan peluang kepada Barisan Nasional (BN) berkempen walaupun ada kalangan mereka bukan penyokong UMNO.
"Penduduk di sini tidak kira Pas dan UMNO telah membuka pintu rumah mereka untuk juru kempen berjumpa dan ziarah dari rumah ke rumah.
"Ini adalah perkembangan yang cukup baik, saya harap trend sebegini akan dapat dicontohi di tempat lain apabila kita menghadapi pilihan raya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat terakhir jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai di Pusat Operasi BN di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, Datuk Mustapa Mohamed; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Awang Adek Hussin dan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamelia Ibrahim.
Esok adalah hari pembuangan undi bagi pilihan raya kecil tersebut selepas sembilan hari UMNO dan Pas berkempen bagi menarik sokongan pengundi. Terdapat sejumlah 12,293 pengundi berdaftar di kawasan itu
Sepanjang kempen tersebut berlangsung, tidak ada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak dan proses kempen berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku walaupun persaingan dianggap sengit.
Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertembungan di antara calon BN, bekas Pengurus di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dan Pas diwakili oleh seorang pemborong ikan, Mohd. Fauzi Abdullah, 50.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, penerimaan penduduk terhadap jentera pilihan raya BN walaupun mungkin ada di antaranya bukan ahli UMNO disebabkan sikap mereka yang terbuka.
"Kalau kita lihat sosiobudaya masyarakat di sini agak begitu mesra walaupun mereka mungkin menjadi ahli Pas atau UMNO, mungkin juga kerana ada pertalian persaudaraan antara mereka,'' ujarnya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penyokong Pas dan UMNO boleh duduk bersama termasuk dalam satu warung tanpa sebarang masalah.